Friday, 20 April 2012

DEFINISI PERADABAN DARI SUDUT BAHASA DAN PANDANGAN SARJANA


Pengenalan


Setiap bahasa di dunia ini mempunyai tafsiran masing-masing bagi mendefinisikan maksud peradaban. Bukan sahaja ejaan dan sebutan yang berbeza, makna dan konsep peradaban turut berbeza antara satu bahasa dengan bahasa yang lain. Misalnya, istilah kulture dalam bahasa Jerman membawa makna peradaban, manakala istilah culture dalam bahasa Inggeris merujuk kepada kebudayaan. Keadaan seperti ini menunjukkan bahawa setiap bahasa mempunyai persepsi tersendiri terhadap istilah peradaban.

 Terminologi peradaban atau kadangkala disebut tamadun  dibicara dan dikupas oleh para sarjana dari pelbagai disiplin mengikut pandangan masing-masing. Biarpun begitu, kerana berlainan latar belakang ilmu dan disiplin para sarjana, menyebabkan wujudnya penafsiran yang berbeza.

Perkataan tamadun diambil daripada kata dasar bahasa Arab Tamaddana atau Madana yang mengandungi erti pemilihan sesuatu lokasi sebagai tempat tinggal, membangun sesuatu kawasan hingga menjadi suatu perbandaran. Kamus al-Munjid menjelaskan istilah tamadun adalah terbitan daripada lafaz tamaddana, iaitu fenomena daripada perubahan cara kehidupan daripada corak liar atau nomad kepada kehidupan yang berbentuk maju. 

Dari  perspektif Islam, peradaban dikaitkan dengan perkataan umran, adab dan dinnun atau dainun. Umran membawa makna harta, kawasan yang didiami, berkembang subur dan maju, perhimpunan, melawat dan hidup berpanjangan . Istilah adab pula merujuk kepada jemputan ke sesuatu majlis. Adbun pula bermakna memperelok tingkah laku yang menunjukkan pemikiran dan roh. Ta’dib adalah proses membentuk disiplin yang baik. Perkataan dainun membawa maksud kepatuhan, penyerahan; cara hidup, pinjaman; hakim atau pemerintah; madinah (sebuah bandar yang ditadbir oleh hakim atau pemerintah).

Dalam bahasa China, peradaban disebut  wen ming yang bererti cerah, terang atau bercahaya yang merujuk kepada peradaban. Wen merujuk kepada keindahan, kelembutan, keelokan atau budi pekerti. Ming pula merujuk kepada cahaya atau kecerahan. Istilah tersebut juga dikaitkan dengan amalan tradisi yang perlu dipraktikkan, pemikiran yang bijaksana, pemahaman yang jelas dan bertutur secara terbuka. Daripada definisi ini dapat dikatakan bahawa bahasa China memberi penekanan kepada unsur-unsur yang baik, menghormati amalan tradisi dan bertindak secara tradisional. 

Dalam bahasa Tamil, peradaban dikaitkan dengan istilah nakarikam. Nakar bermaksud kota atau bandar, manakala ikam pula membawa erti pembentukan. Nakar juga merupakan simbol tentang penjelmaan Tuhan Siva, iaitu tuhan yang menciptakan bandar.

Dari sudut morfologi bahasa Melayu, istilah ‘tamadun’ berkemungkinan besar pada peringkat awal penggunaannya dikekalkan sebutan asalnya dalam bahasa Arab iaitu “tamaddun” yang dikenali sebagai peminjam bulat-bulat. Akan tetapi, pada peringkat selanjutnya berlaku perubahan sebutan dengan pengguguran huruf  ‘d’ yang kedua. Mengikut Kamus Dewan, peradaban merujuk kepada keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik dan lain-lain), negara dan penduduknya yang telah mencapai taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran, budaya atau cara hidup orang-orang ( negara, kawasan, atau sesuatu zaman), dan keadaan pemikiran ( budaya dan moral yang halus).

Jelaslah tafsiran terhadap istilah peradaban dari sudut bahasa mempunyai pelbagai maksud dan pengertian tersendiri. Rata-rata tafsiran yang diberikan mencakupi aspek material dan spritual. 

4 comments: